Wednesday, April 14, 2010

Wang ihsan: Gegar lapor polis

KOTA BHARU - Gerakan Bertindak Kembalikan Ro-yalti Rakyat (Gegar) membuat laporan polis terhadap pengagihan wang ihsan yang dibuat oleh Kerajaan Pusat di Sekolah Menegah Kebangsaan Hamzah Machang, 3 April lepas.

Laporan yang dibuat di Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Kota Bharu itu bagi menggesa pihak berkuasa menyiasat adakah penyaluran wang itu bertentangan dengan Akta Pembangunan Petroleum 1974.

Pengerusinya, Dr Abdul Halim Yusof berkata, siasatan terperinci perlu dibuat memandangkan kerajaan mengatakan wang ihsan yang diberikan adalah diambil dari sumber penggerudian petroleum dari kawasan perairan Kelantan.

“Oleh itu, siasatan itu perlu bagi melihat bagaimana pengagihan dan penggunaan wang ihsan dilakukan termasuk cara pengagihan melalui agensi Kerajaan Persekutuan dan bukan Kerajaan Negeri seperti maksud dalam akta tersebut,” katanya ketika ditemui selepas membuat laporan polis berkenaan, di sini, semalam.

Turut hadir memberi sokongan Ketua Pemuda Pas negeri, Abd Latif Abd Rahman

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika membuat kunjungan sehari Kelantan 3 April lalu menyerahkan agihan wang royalti kepada pelajar sekolah rendah yang layak menerima bantuan tersebut.

Dalam pada itu, Dr Abdul Halim berkata, sekiranya wang tersebut tiada kaitan dengan penghasilan petroleum, adalah perlu polis menyiasat dari mana peruntukan RM25 juta wang tersebut diambil.

“Adakah ia diambil dari bajet yang diluluskan melalui Akta Bekalan? Saya mengharapkan penyiasatan dibuat untuk memastikan ketelusan dan tiada penyelewengan dalam penggunaan harta rakyat,” katanya

Katanya, laporan itu perlu dibuat bagi menunjukkan bahawa rakyat tidak merestui apa yang dilakukan Kerajaan Pusat dengan bertentangan dengan undang-undang yang termaktub.

Dalam pada itu, Abd Latif berkata, Pemuda Pas akan terus menyokong tuntutan yang dibuat oleh mana-mana badan dan organisasi yang menyokong tuntutan royalti.

“Sokongan ini diberikan kepada semua pihak yang menyokong tuntutan. Kita tidak boleh menerima cara yang dilakukan oleh Barisan Nasional (BN) yang jelas melanggar hak rakyat Kelantan,” katanya

Sumber: Sinar Harian

Tuesday, April 13, 2010

Gegar buat laporan polis JPP agih wang ehsan

KOTA BHARU, 13 April: Gerakan Bertindak Kembalikan Royalti Rakyat (Gegar) hari ini membuat satu laporan polis berhubung penyalahgunaan kuasa oleh Kerajaan Persekutuan dalam pembahagian wang rakyat melalui Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) dengan menggunakan nama wang ehsan.

Pengerusi bersama Gegar, Dr Abdul Halim Yusof yang bertindak membuat laporan tersebut supaya pihak polis membuat siasatan terhadap program pengagihan wang ehsan yang diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Hamzah 1, Machang pada 3 April, dalam Program Juara Rakyat peringkat Kelantan seperti mana dilaporkan dalam akhbar Utusan Malaysia bertarikh 4 April lalu.

Abdul Halim membuat laporan tersebut kerana meragui wang ehsan yang telah diagihkan itu adalah dikatakan wang hasil penggerudian petroleum dari kawasan perairan Kelantan.

Merujuk Akta Pembangunan Petroleum 1974, Abdul Halim meminta pihak polis menyiasat hal itu dalam tiga aspek iaitu, penggunaan dan pengagihan wang ehsan tersebut, pengagihan wang melalui agensi Kerajaan Persekutuan dan tidak melalui kerajaan negeri sebagaimana maksud akta tersebut dan kaedah pengagihan wang ehsan dan bagaimana ia diakaunkan.

“Sekiranya wang ehsan tiada kaitan dengan penghasilan petroleum, saya mohon polis menyiasat peruntukan 25 juta untuk wang ehsan ini adakah diperuntukkan melalui bajet yang diluluskan Parlimen melalui Akta Bekalan?

“Saya mengharapkan penyiasatan dibuat untuk memastikan ketelusan dan tiada penyelewengan dalam penggunaan wang rakyat,” katanya ditemui selepas laporan tersebut dibuat.

Abdul Halim yang diiringi kira-kira 30 penyokong membuat laporan tersebut di Ibu Pejabat Polis (IPD) Kota Bharu, di Pengkalan Chepa, kira-kira 5.30 petang ini.

Pemuda PAS negeri turut hadir sama sebagai tanda sokongan terhadap hasrat murni Gegar itu.

Sebagai rakyat Kelantan, Abdul Halim menegaskan laporan berkenaan dibuat atas rasa rasa tanggungjawab yang mahukan agar segala hasil bumi Kelantan dapat dinikmati oleh seluruh rakyat negeri ini secara sama rata.

“Saya yakin pihak bertanggungjawab akan bertindak adil dengan laporan ini,” ujarnya.

Sumber: Harakadaily