Wednesday, February 24, 2010

Penjelasan Pusat mengelirukan

KOTA BHARU – Pengerusi Jawatankuasa Tuntutan Royalti Petroleum negeri Kelantan, Datuk Husam Musa menyifatkan langkah Kerajaan Pusat menyiarkan iklan berhubung isu royalti minyak dianggap sebagai perkara yang mengelirukan.

Husam berkata, Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 1969, yang digunakan sebagai alasan bagi menetapkan bahawa Kelantan tidak layak menerima royalti, telah pun dimansuhkan pada 1979 dan tidak boleh digunakan oleh Kerajaan Pusat dalam isu tuntutan royalti oleh Kerajaan Negeri ini.:

“Saya ingin jelaskan bahawa iklan yang disiarkan oleh Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia amat mengelirukan.

“Amat mengelirukan kerana perkara yang dirujuk di dalam iklan tersebut adalah tidak ada kena mengena dengan akta atau perkara-perkara undang-undang yang berkaitan dengan petroleum.

“Bagaimana Kerajaan Pusat boleh mengguna pakai ordinan yang telah dimansuhkan dan diiklankan dalam akhbar pada Ahad lalu,” katanya kepada pemberita pada satu sidang media di pejabatnya di Kota Darul Naim, semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas langkah Kerajaan Pusat menyiarkan iklan satu muka surat penuh di semua akhbar arus perdana berbahasa Melayu pada Ahad lepas bagi memberikan fakta sebenar mengenai kenapa Kelantan tidak layak menerima royalti minyak.

Kerajaan Kelantan pimpinan Pas bertegas mahukan bayaran royalti dan bukannya wang ihsan walaupun mengikut peraturan Kelantan tidak layak menerima royalti kerana dua telaga minyak yang didakwa milik Kelantan terletak lebih tiga batu nautika dari pesisiran pantai negeri itu.

Dua telaga minyak berkenaan terletak 150 batu nautika dari perairan Kelantan sedangkan Seksyen 4(2) Ordinan (Kuasa-Kuasa Perlu) Darurat 1969 menyebut negeri di dalam Malaysia mempunyai perairan wilayah hanya setakat tiga batu nautika (5.5 kilometer) diukur dari paras air surut.

Kerajaan Pusat bersetuju memberi RM20 juta wang ihsan kepada penduduk Kelantan, yang merupakan bayaran pertama sebanyak lima peratus daripada hasil dua telaga minyak pada 2008, sama seperti yang termaktub di dalam perjanjian Akta Peroleum 1975, iaitu bayaran lima peratus daripada hasil keuntungan minyak dan gas kepada kerajaan negeri.

Husam berkata, keputusan sama ada kes tuntutan royalti petroleum oleh Kerajaan Kelantan akan d:ibawa ke mahkamah akan ditentukan minggu depan selepas Exco dan Ahli Dewan Undangan Negeri menden:gar taklimat mengenai isu itu daripada bekas Peguam Negara, Tun Salleh Abas, Ahad ini.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

Post a Comment