Monday, December 21, 2009

NGO Kelantan Dan Terengganu Tubuh Badan Khas Tuntut Royalti Minyak

Sumber: Bernama

KOTA BAHARU, 5 Dis (Bernama) -- Gabungan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Kelantan (GABUNGAN) dan Majlis Permuafakatan Rakyat Terengganu (MAMPAT) hari ini menubuhkan sebuah badan khas iaitu Gerakan Bertindak Kembalikan Royalti Rakyat (GEGAR) bagi menuntut dan menggesa kerajaan persekutuan mengembalikan hak royalti petroleum di negeri itu.

Pengerusinya, Dr Abdul Halim Yusof berkata penubuhan badan itu disertai lebih 50 NGO di seluruh Kelantan dan Terengganu.

"Penubuhan Gegar ini kita wujudkan tanpa mengira fahaman politik, tidak mengira sempadan agama, bangsa mahupun parti politik yang disokong.

"Kita cuma mahu mendapatkan kembali hak royalti berasaskan kepada Akta kemajuan Petroleum 1974 dan Perjanjian Petroleum menurut seksyen 4 Akta 1975," katanya kepada pemberita di sini pada Sabtu.

Beliau berkata buat permulaan badan terbabit akan mengadakan konvensyen rakyat yang akan membincangkan tajuk 'Royalti Petroleum Antara Hak atau Ihsan' di Kuala Lumpur dalam masa terdekat.

"Konvensyen terbabit akan diadakan secara terbuka untuk semua rakyat bagi sama-sama membincangkan dan bertukar pendapat mengenai isu ini secara terbuka," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Mampat, Mohd Fauzi Abu Samah berkata pihaknya kini dalam perancangan untuk menjemput Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah untuk menyertai sesi konvensyen rakyat itu.

"Sebelum ini Mampat pernah mengadakan satu konvensyen di Terengganu pada Julai 2008 dan telah disertai Tengku Razaleigh.

"Diharap pada tahun ini konvensyen yang akan diadakan di bawah Gegar ini akan dapat disertai beliau bagi memberi maklumat sebenar berkaitan isu royalti ini kepada rakyat," katanya.

Mohd Fauzi berkata hasil daripada konvensyen rakyat itu, Gegar akan turun ke seluruh negeri Kelantan dan Terengganu untuk mengadakan kempen bagi menggesa rakyat bersama menuntut hak royalti terbabit.

"Gegar juga menggesa badan-badan NGO lain yang berminat untuk menyertai Gegar dan sama-sama berusaha kerana apa yang diperjuangkan adalah untuk kepentingan rakyat semata-mata," katanya.


-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment