Monday, December 21, 2009

NGO tubuh Gegar tuntut royalti minyak

Sumber: Sinar Harian (Nasional)

KOTA BHARU - Gabungan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Kelantan (Gabungan) dan Majlis Permuafakatan Rakyat Terengganu (Mampat) semalam mengambil inisiatif dengan menubuhkan badan khas iaitu Gerakan Bertindak Kembalikan Royalti Rakyat (Gegar) bagi menuntut Kerajaan Persekutuan mengembalikan hak royalti petroleum di negeri itu.

Pengerusinya, Dr Abdul Halim Yusof berkata, penubuhan Gegar digembelingkan semua pihak tanpa mengira sempadan agama,politik dan bangsa bagi menuntut hak dan maruah rakyat dengan memberi maklumat dan kesedaran dengan pelbagai cara yang sewajarnya.

“Penubuhan badan ini disertai lebih 50 NGO di seluruh Kelantan dan Terengganu yang melibatkan pelbagai entiti, apa yang dilakukan ini adalah semata-mata untuk menuntut royalti berasaskan kepada Akta kemajuan Petroleum 1974 dan Perjanjian Petroleum menurut seksyen 4 Akta 1975,” katanya kepada media di kediaman Menteri Besar Kelantan, di sini semalam.

Sehubungan dengan itu katanya, buat permulaan badan terbabit mengadakan konvensyen membincangkan tajuk ‘Royalti Petroleum Antara Hak atau Ihsan’ di Kuala Lumpur dalam masa terdekat.

“Sebelum ini ramai yang tidak menyedari bahawa Petronas telah menyedut minyak di negeri ini, siapa yang sembunyikan? Kita akan sedarkan kepada rakyat apa yang dimasukkan dengan royalti dan wang ihsan, ia adalah dua perkara berbeza,”katanya.

Sementara itu, Pengerusi Mampat, Mohd Fauzi Abu Samah berkata, pihaknya kini dalam perancangan untuk menjemput Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah menyertai konvensyen rakyat itu.

”Mampat pernah mengadakan satu konvensyen di Terengganu pada Julai 2008 dan telah disertai Tengku Razaleigh.

”Gegar juga menggesa NGO lain yang berminat menyertai Gegar dan sama-sama berusaha kerana apa yang diperjuangkan adalah untuk kepentingan rakyat semata-mata,” katanya.

No comments:

Post a Comment