Sunday, January 31, 2010

Nik Aziz dakwa Pusat banyak dalih

KUALA LUMPUR 31 Jan. - Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mendakwa Kerajaan Pusat banyak berdalih tentang isu royalti hasil petroleum yang perlu dibayar kepada negeri itu.

Katanya, Kerajaan Pusat telah mereka-reka pelbagai tafsiran di sebalik perjanjian yang dibuat berhubung pembayaran royalti yang telah dimeterai antara Petronas dengan kerajaan negeri Kelantan sejak 1975 lagi.

''Mereka (Kerajaan Pusat) tidak mahu berlaku adil untuk Kelantan. Malah mereka telah memalingkan hakikat keadilan kepada keputusan yang zalim.

"Mereka menolak membayar royalti dan menukar royalti kepada wang ihsan," katanya di dalam blog www.blogtokguru.com baru-baru ini.

Mursyidul Am Pas itu turut mendakwa keputusan kerajaan untuk memberikan wang ihsan dan bukannya membayar royalti itu telah menzalimi seluruh rakyat Kelantan dan satu penghinaan kepada kerajaan negeri itu.

Sehubungan itu katanya, kerajaan negeri tetap bertegas tidak akan menerima wang ihsan yang akan diberikan kerajaan pusat bermula Mac ini.

Katanya, keengganan kerajaan negeri untuk menerima wang ihsan itu bukan untuk mempolitikkan isu pembayaran royalti tersebut.

"Sebaliknya, tindakan Kerajaan Pusat menukar royalti kepada wang ihsan, tidak mematuhi perjanjian dan berunding dengan Petronas serta berselindung di sebalik nama Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) sebenarnya telah mempolitikkan isu royalti atau wang ihsan ini," katanya.

Sumber: Utusan Malaysia

Royalti: Exco pertikai kenyataan Rais


Yusri Amin
KOTA BHARU, 1 Feb: Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Desa dan Bioteknologi negeri, Che Abdullah Mat Nawi mempertikai kenyataan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Rais Yatim yang mendakwa isu tuntutan royalti petroleum perlu diselesaikan melalui saluran undang-undang di mahkamah dan bukannya melalui ceramah.

“Selalunya macam itulah, sebagaimana juga ISA, apabila kita bawa rakyat berdemonstrasi untuk menuntut hak rakyat, mereka mengatakan sepatutnya tidak dibawa ke jalan itu, sepatutnya dibawa ke meja rundingan, sepatutnya dibawa ke Parlimen,” katanya.

Menurutnya, sudah beberapa kali isu royalti itu dibawa ke Parlimen dan meja rundingan, bahkan surat kerajaan negeri secara rasmi telah dihantar kepada pihak berkenaan, namun belum ada perbincangan.

Tambahnya, sebenarnya penafian royalti itu diucapkan di jalanan juga, sebagaimana dakwaan Timbalan Menteri Kewangan, Senator Datuk Dr Awang Adek Hussein di Bachok dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mustapa Mohamed di Jeli dan Manek Urai sebelum ini.

“Keadaan itu serupa saja, cuma program kita ramai rakyat, tidak sebagaimana program mereka. Hari ini, siapa kerajaan negeri, yang dipilih oleh rakyat menyebabkan tiba-tiba mereka mendawa (berceramah) di Bachok dan di Jeli dengan menyatakan mahu memberi wang ehsan dan disalurkan kepada Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP).

“Jawapan mereka itu (diberikan) di pentas apa, Mereka mendakwa hendak memberi RM20 juta, hendak memberi royalti, wang ehsan, bahkan sanggup mendakwa bahawa wang ehsan itu sama dengan royalti.

“Tidakkah dakwaan itu di pentas ceramah?” katanya pada majlis perasmian penutup Taklimat Hala Tuju Perniagaan Koperasi Hilal (Al-Hilal) Malaysia Berhad, di sebuah hotel di sini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Wakaf Baru turut menyeru rakyat agar melangkah lebih jauh ke hadapan.

Sehubungan itu, katanya rakyat yang memahami Al-Quran tidak akan menyertai Umno, bahkan kefahaman mendalam terhadap kitab suci itu menyebabkan mereka berjuang menegakkan ajaran Al-Quran itu sendiri.

Sumber: Harakahdaily

Saturday, January 30, 2010

Hormati penjelasan isu royalti: Nik Aziz


KOTA BHARU - Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meminta semua pihak menerima penjelasan yang dibuat bekas Pengerusi Petronas, Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) berhubung perjanjian di antara Kerajaan Negeri dan Petronas dalam menyelesaikan kemelut isu tuntutan royalti minyak Kelantan.

Nik Abdul Aziz berkata, Ku Li adalah orang yang bertanggungjawab berunding ketika itu dan sudah pasti hanya dia sahaja yang mengetahui mengenainya.

“Kenyataan dia (Ku Li) itu terpaksa diterima kerana dia yang berunding dengan Tun Razak. Tak ada orang boleh sebut macam dia ghoyat (beritahu). Dan, dia tidak berlawak (berbohong),” katanya ketika ditemui media di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di sini, semalam.

Nik Abdul Aziz turut menjelaskan Kerajaan Negeri hanya menganjurkan program solat Maghrib, solat Hajat dan solat Isyak sahaja manakala program ceramah itu pula adalah anjuran Gerakan Bertindak Kembalikan Royalti Rakyat (Gegar).

“Program itu anjuran Gegar bukan anjuran kita. Anjuran kita hanyalah solat Maghrib, Hajat dengan Isyak sahaja. Program selepas itu dirancang Gegar,” katanya.

Kelantan mahu royalti bukan wang ihsan

ADA yang kata itu ceramah politik untuk memancing undi (pilihan raya jauh lagi!). Ada juga yang menganggapnya sebagai cara untuk menonjolkan diri. Malah ada yang menuduh Tengku Razaleigh Hamzah menjadi pembelot UMNO kerana bercakap di pentas Pas.

Apa pun andaian yang dibuat, perhimpunan raksasa di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Kelantan, malam 28 Januari lalu, memang mendapat sambutan rakyat dengan kehadiran lebih 30,000 orang.

Perlu dijelaskan bahawa perhimpunan tersebut bukan anjuran BN, bukan UMNO, bukan juga Pas. Perhimpunan hari Khamis malam Jumaat itu dianjurkan oleh Gerakan Bertindak Kembalikan Royalti Rakyat atau Gegar, yang mewakili lebih 50 pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Ada yang berasa pelik bahawa Razaleigh sebagai Wakil Rakyat UMNO kawasan Parlimen Gua Musang bercakap panjang lebar pada majlis yang dihadiri ramai penyokong dan pemimpin Pas, termasuk Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Bergantung kepada tanggapan masing-masing, pada hemat saya ucapan Yang Berhormat Gua Musang pada malam itu tidak berbau politik. Beliau bercakap mengenai royalti minyak. Secara kebetulan isu royalti minyak Kelantan menjadi hangat sejak akhir-akhir ini dengan Nik Aziz berkeras menuntut pembayaran royalti dari Kuala Lumpur.

Maka dalam konteks itu mungkin ada yang menganggap ceramah Ku Li malam itu ada kaitan dengan politik. Itu adalah tanggapan sesetengah pihak dan setiap orang bebas membuat apa saja tanggapan.



* SEPERTI semua orang tahu Ku Li yang sudah lama dalam politik, adalah bekas Menteri Kewangan. Beliau juga mengasaskan Petronas dan pernah menjadi Pengerusi syarikat minyak negara.

Atas pengalaman itu beliau adalah antara orang paling layak untuk bercakap mengenai royalti minyak.

Sebagai rakyat Cik Siti Wan Kembang, kerabat diraja Kelantan itu berasa terpanggil untuk menghuraikan cerita minyak – termasuk kedudukan royalti minyak – untuk pengetahuan bukan sahaja rakyat Kelantan malah seluruh rakyat Malaysia.

Seperti yang dijelaskan oleh Ku Li pada perhimpunan itu, dari sudut undang-undangnya Kelantan memang berhak mendapat royalti minyak 5 peratus, berdasarkan perjanjian yang dibuat pada 1974 antara Petronas dengan Kerajaan Negeri.

Maka tidak salah Nik Aziz menuntut royalti itu daripada Kerajaan Pusat. Kerajaan Negeri tidak mahu menerima wang ihsan, sebab dengan memberi wang ihsan berjumlah RM20 juta seperti yang diumumkan Datuk Mustafa Mohamed, perjanjian 1974 itu telah diingkari.

Perkara ini mudah dan jelas, tidak perlu hendak dipanjangkan lagi, tidak perlu juga hendak dijadikan gurindam dan Mak Yong politik. Ikut sahaja isi perjanjian 1974 itu dan semua orang boleh tidur lena.



* NAMPAKNYA Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim tidak berapa berkenan dengan Ku Li bercakap mengenai royalti minyak di perhimpunan raksasa itu.

Kata Menteri itu, isu tuntutan royalti petroleum oleh Kerajaan Kelantan perlu diselesaikan menerusi saluran undang-undang di mahkamah dan bukannya melalui ceramah di stadium.

Antara kata-kata Dr Rais seperti disiarkan media: ‘‘Bagi sesetengah orang yang lupa asal-usul, mereka terus memberi ceramah dan membangkitkan isu bukan-bukan.”

Saya tidak fikir Ku Li lupa asal-usul, lebih-lebih lagi kedua-dua tokoh veteran ini pernah tidur sekelambu satu ketika dulu, malah salah seorang darinya pernah ‘membakar jambatan’. Jambatan itu bagaimana pun ‘dipulihkan’ sekarang!

Juga saya tidak fikir apa yang dicakapkan oleh Ku Li di Kota Bharu malam itu adalah ‘isu yang bukan-bukan’. Royalti minyak adalah isu besar dan Kelantan menuntut hanya apa yang patut dituntut, tidak lebih dan tidak kurang. Serambi Mekah tidak mahu wang ihsan, sebaliknya mahukan royalti. Itu saja.

Mengenai menyelesaikan isu ini di mahkamah, seperti yang dicadangkan Rais, pada hemat saya bukan semua perkara dapat diselesaikan di mahkamah.

Dalam kes royalti keadaannya memang sudah jelas seperti termaktub dalam perjanjian 1974. Kalau semua pihak mematuhi semangat perjanjian tersebut, isu ini boleh diselesaikan secara aman, tidak perlu pakai peguam.

Lagi pun mahkamah tidak semestinya menyelesaikan masalah. Kalau silap gaya boleh menambahkan lagi masalah, seperti yang terjadi dalam isu kalimah Allah yang cuba diselesaikan menerusi mahkamah.

Sumber: Sinar Harian

Friday, January 29, 2010

Ku Li: Kelantan berhak dapat royalti minyak

(Gambar: Puluhan ribu hadir mendengar penjelasan Bekas Pengerusi Petronas, Tengku Razaleigh Hamzah berhubung hak Kelantan mendapat royalti minyak) -Foto: Rizal Tahir

KOTA BHARU, 28 Jan: Kelantan ada hak untuk mendapat royalti minyak sebanyak RM2 bilion dan akan menjadi negeri yang terkaya, kata bekas Pengerusi Petronas, Tengku Razaleigh Hamzah.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Gua Musang mempersoalkan mengapa Kelantan tidak mendapat royalti minyak sedangkan Sabah dan Sarawak memperolehinya.

Ucapannya yang berjaya menarik perhatian orang ramai yang memenuhi padang Stadium Sultan Mohamad IV itu berakhir kira-kira jam 10.50 malam.

Memorandum berhubung tuntutan royalti itu diedarkan kepada orang ramai untuk ditandatangani dan akan diserahkan kepada Pemangku Raja dan Perdana Menteri.

Sejak petang lagi, stadium penuh sesak dengan kehadiran puluhan ribu rakyat Kelantan untuk mengikuti penjelasan royalti minyak yang disampaikan oleh Ku Li.

Majlis bermula dengan solat Maghrib berjemaah yang diimamkan oleh Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob, diikuti solat Isyak yang diimamkan oleh Ustaz Mohamad Mustafa manakala solat hajat dipimpin oleh Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Orang ramai juga dihidangkan dengan tayang klip video oleh Gegar pada sesi pertama anjuran Urusetia Penerangan Negeri Kelantan.

Majlis bertambah meriah dengan perarakan beca memasuki stadium yang membawa Ku Li dan pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Ku Li setuju Kelantan tolak sertai Jawatankuasa Wang Ehsan

Oleh: Yusri Amin & Mohd Nor Yahya

KOTA BHARU, 29 Jan: Mantan Pengerusi Petronas, Tengku Razaleigh Hamzah turut menyokong tindakan Kerajaan Kelantan menolak penyertaan sebagai wakil kerajaan negeri dalam Jawatan Kuasa Wang Ehsan yang akan dikendalikan Jabatan Kerajaan Persekutuan (JPP).

Bercakap pada sidang media selepas berucap di Stadium Sultan Muhammad IV malam tadi, beliau yang lebih mesra dengan membahasakan dirinya Ku Li menegaskan bahawa 'royalti' bukan 'wang ehsan' dan 'wang ehsan' bukan 'royalti'.

"Baguslah tu, kalau Kerajaan Negeri buat sikap begitu.

“Jangan tanya saya,tanya rakyat Kelantan ,mereka terima atau tidak wang tersebut, yang jelas sekarang rakyat Kelantan telah menolak cadangan mereka yang hendak salurkan wang tersebut pada JPP dan kalau kerajaan Kelantan tak mau terima ia tidak ada gunanya” ujar beliau lagi.

“Itulah saya katakan (bahawa) kita semua walau pun (dianggap) miskin di Kelantan ni, (namun) kita bukanlah tok fakir (peminta sedekah),” katanya yang juga bekas Menteri Kewangan.

Mengulas tindakan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed yang menafikan hak Kelantan mendapat royalti dan hanya mendapat wang ehsan, Ku Li berkata, Mustapa hanya pengampu kerajaan.

“Jangan sebut lagi nama Mustapa, bosan saya mendengarnya dan dia tu pengampu” katanya.

Royalti jelasnya adalah hak Kelantan mengikut perjajian yang dibuat kerajaan negeri itu dengan Petronas di bawah Akta Pembangunan Petronas 1974 (PDA) sewaktu beliau menjadi pengerusi.

“Kerajaan Persekutuan tawarkan wang ehsan, sama ada dia nak ambil daripada wang minyak yang dimiliki oleh Petronas atau pun daripada punca lain, itu dia punya pasal.

“Tetapi soalnya, yang utama ialah royalti yang menjadi hak. Ini ‘sovereign rights’ rakyat Kelantan,” katanya.

Ahli Parlimen Gua Musang itu juga turut menyatakan kesanggupannya menjadi ‘jambatan’ antara kerajaan negeri, kerajaan persekutuan dan Petronas.

Selain itu beliau turut memaklumkan bersedia menjadi Pengerusi Kaukus Parlimen berhubung perkara tersebut.

“Saya sedia menerimanya, namun saya belum dapat pengesahan daripada Ahli-Ahli Parlimen yang saya telah jumpa untuk ajak bersama dalam Kaukus itu.

Malam tadi puluhan ribu memenuhi stadium bagi mendengar penjelasan Ku Li berhubung tuntutan royalti minyak Kelantan.

Program tersebut anjuran Gerakan Bertindak Kembalikan Royalti Rakyat (Gegar) dengan kerjasama kerajaan negeri.

Ku Li dalam ucapannya sebelum ini memberitahu Kelantan berhak mendapat royalti minyak sebanyak RM2 bilion seperti perjanjian yang telah dibuat dengan Petronas.

Ianya sama seperti perjajian yang dibuat antara Sabah dan Sarawak yang memperoleh royalti dari Petronas.

Satu memorandum berhubung tuntutan itu akan diserahkan kepada Pemangku Raja dan Perdana Menteri dalam masa terdekat.

Hadir sama pada program malam tadi Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dan barisan exco kerajaan negeri.

Sumber: Harakahdaily

Ku Li praised for brave stand on oil, rights of states


KUALA LUMPUR, Jan 29: Pakatan Rakyat leaders praised Umno veteran Tengku Razaleigh Hamzah for his courage and non-partisanship in standing up for Kelantan’s oil rights and for calling for a review of the Federation Agreement, which details the rights of the 13 states vis-a-vis the federal government.

“He is a very brave man, a man of tremendous principles to stand up to his party,” Wan Rahim Wan Abdullah, MP for Kota Bharu and former Speaker of the Kelantan legislative assembly, told Harakahdaily.

“Not only is he speaking up for the Kelantan people but he is also trying to correct the abuses by the federal government in the way they allocate money and grants to the different states, including Sabah and Sarawak,” Wan Rahim added.

“It is high time that the Umno-BN behaved like a gentleman and honour the Petronas profit-sharing agreement with the oil-producing states, of which Kelantan is one. They should not have double standards and pick on Kelantan just because it is ruled by PAS-Pakatan,” Hanipa Maidin, PAS central committee member, told Harakahdaily.

“Imagine if you cannot honour an agreement with your own states, which country or multinational would want to have serious long-term dealings with you. These of sort things have a much deeper and longer-term implication than the Umno-BN cares to admit,” Hanipa added.

Massive turnout for the PAS oil forum


Indeed, Ku Li – as the Tengku Razaleigh is also known – is renowned for his stickiness for fair-play. The former Finance Minister, who was the first chairman of national oil firm Petronas, had in the 1980s challenged former premier Mahathir Mohamad and more recently Prime Minister Najib Razak for the presidency of Umno.

A crowd of at least 50,000 turned up to see him share the center stage with PAS spiritual adviser Nik Aziz Nik Mat, whose party had organized the forum held at the Stadium Sultan Mohamed IV on Thursday night.

They were not disappointed by the two veteran leaders. “I stand here representing only myself. I am here upon principle,” was Ku Li’s appetizer to the roaring crowd.

The cheers grew even louder when he confirmed that he had decided to accept a Pakatan invitation to lead the parliamentary caucus on oil rights.

The caucus was mooted after Najib refused to pay Kelantan – which is ruled by the PAS-led Pakatan state government - five percent in oil royalty and instead offered a much lesser sum in the form of compassionate money.

“If Sarawak is due her five per cent royalty, no less is Kelantan, by the same principle,” Ku Li said. “Kelantan may be poor. But we are not beggars. We demand what is rightfully ours."

He also told the crowd that Malaysia was a federation of sovereign states and the states have assigned only certain rights to the federal government, not all as the federal government would have it appear.

“The oil caucus I will lead is not just about oil. It is to re-examine the relationship between the states and the federal government. Let us re-examine the terms of the Federation Agreement signed in 1948,” said Ku Li.

Sumber: Harakahdaily

Beri wang ihsan melalui JPP ceroboh demokrasi

KOTA BHARU - Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Desa dan Bioteknologi, Che Abdullah Mat Nawi menyifatkan pemberian wang ihsan kepada negeri Kelantan melalui Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) sebagai pencerobohan demokrasi terhadap Kerajaan Negeri.

Katanya, perkara itu tidak sepatutnya berlaku di negara yang mengamalkan sistem berperlembagaan apabila JPP yang ditubuhkan secara tidak berdemokrasi sebagai kerajaan yang haram tiba-tiba layak untuk menerima duit rasmi melalui perjanjian antara Petronas dengan Kerajaan Negeri.

“Menjadi satu pencerobohan apabila ada pihak lain yang ditubuhkan tidak mengikut sistem demokrasi tampil menerima wang tersebut dan menafikan hak Kerajaan Negeri yang sah dan dipilih oleh rakyat sendiri.

“Ini kerana wang tersebut adalah milik Kerajaan Negeri yang telah termaktub dalam perjanjian dengan Petronas yang sepatutnya membayar royalti secara terus kepada Kerajaan Negeri,” katanya kepada Sinar Harian.

Che Abdullah berkata, oleh kerana royalti merupakan sebahagian daripada perjanjian Kerajaan Negeri dengan Petronas, maka menjadi tanggungjawab Petronas untuk bayar royalti secara terus bukannya melalui pihak lain yang tiada kena mengena dengan Kerajaan Negeri hanya kerana alasan Kerajaan Negeri tidak bijak menguruskan kewangan.

Katanya, alasan berkenaan tidak timbul kerana perkara asas yang paling utama adalah hak sesebuah negeri itu untuk menerima hasil daripada perjanjian yang dibuat bukan soal pengurusan atau kelayakan.

“Kalau nak pertikai soal bijak atau tidak, sudah ada contoh yang berlaku di Terengganu apabila stadium yang bernilai lebih RM300 juta runtuh secara tiba-tiba, ditambah pula stesen bas dan masjid yang juga runtuh serta hospital yang tidak dapat digunakan selepas dibina oleh Kerajaan Persekutuan.

“Secara logiknya, kejadian tersebut menunjukkan berlakunya salah guna kuasa ataupun tidak menguruskan kewangan dengan baik. Jadi di mana bijaknya Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Dalam pada itu, Che Abdullah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Bharu turut menyelar tindakan beberapa pemimpin UMNO yang merupakan rakyat Kelantan bertindak menyokong Kerajaan Persekutuan memberi wang ihsan kepada negeri ini sedangkan mereka sendiri tahu apa hak rakyat Kelantan.

“Sebagai rakyat Kelantan yang menjadi pimpinan negara, mereka sepatutnya bercakap dengan lebih bermaruah mempertahankan hak rakyat negeri ini, namun apa yang berlaku adalah sebaliknya.

“Demi kepentingan politik dan jawatan dipegang, mereka sanggup mengetepikan kebenaran dan menafikan hak rakyat. Orang seperti ini patut ditolak dan tidak layak menjadi wakil rakyat,” katanya.

Katanya, apa yang dapat dilihat sekarang, Kerajaan Persekutuan ibarat pencuri yang tertangkap kemudiannya datang untuk berbincang bagaimana menggunakan barang curian itu dengan pemiliknya.

Sumber: Sinar Harian

Kelantan berhak terima 5 peratus


KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan sememangnya berhak menerima royalti sebanyak lima peratus walaupun pada kawasan bertindih dengan Thailand.

“Sebagai orang yang terlibat dalam penubuhan Petronas dan berdasarkan Akta Kemajuan Petroleum, saya tahu Kerajaan Negeri sememangnya berhak menerimanya," kata Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li).

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas berucap pada Majlis Solat Hajat dan Ceramah Perdana Royalti Petroleum di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV di sini, malam kelmarin.

Pada majlis tersebut, lebih 40,000 rakyat Kelantan membanjiri stadium tersebut untuk mendengar penjelasan daripada Ku Li.

Dalam ucapan itu, Ku Li turut mencadangkan penubuhan sebuah jawatankuasa pemantau bagi memastikan wang berkenaan diuruskan dengan baik sekiranya Pusat tidak yakin dengan kebolehan Kerajaan Negeri.

“Saya rasa kerana mereka (Kerajaan Pusat) tak begitu yakin dengan kerajaan Kelantan disebabkan pimpinan Pas, barangkali saya fikir itu sebab berlengah tak nak bagi royalti kepada Kelantan.

“Saya sanggup menjadi jambatan untuk berhubung dengan Kerajaan Pusat, Kerajaan Negeri dan Petronas supaya dapat kita laksanakan dengan baik demi faedah Kelantan,” katanya.

Sementara itu, beliau juga menafikan dakwaan sesetengah pihak yang kononnya beliau akan menyertai Pakatan Rakyat (PR) ekoran keputusannya untuk menyampaikan ceramah bersama kerajaan Kelantan dalam usaha menuntut hak royalti minyak dan gas oleh Kerajaan Negeri.

Sebaliknya, Ku Li berkata, beliau mempunyai hak untuk memberikan pendapat dan panda:ngan berhubung tuntutan royalti yang dituntut Kerajaan Negeri.

Sebelum ini, kesudian Ku Li menyertai ceramah mencetuskan kontroversi kerana bersama Kerajaan Negeri yang ditadbir Pas.

“Saya bebas bersuara apa yang saya suka asalkan saya tidak langgar Perlembagaan dan undang-undang yang terpakai di negara ini serta disiplin UMNO.

“Saya bukan pak turut, malah pada zaman Tunku (Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj), Tun Razak, Tun Hussein Onn dan Dr Mahathir Mohamad, saya tidak pernah (menjadi pak turut). Kalau orang ajak kita masuk semak, kita masuk semaklah,” katanya.

Hadir sama pada majlis itu Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Timbalannya, Datuk Ahmad Yakub, Pengerusi Jawatankuasa Tuntutan Royalti, Datuk Husam Musa, barisan Exco Kerajaan Negeri dan pemimpin-pemimpin PR.

Ku Li yang juga bekas Pengerusi Petronas berkata, kehadirannya pada malam tersebut adalah atas prinsipnya untuk menegakkan keadilan dan memperjuangkan nasib rakyat Kelantan.

“Sebelum saya datang ke sini ada orang hendak halang saya kerana melanggar disiplin parti. Tetapi saya peduli apa. Saya cuma nak beritahu kebenaran selepas melihat rakyat Kelantan ditindas. Sepatutnya apa yang saya nyatakan pada malam ini telah dinyatakan 36 tahun lalu," katanya.

Sumber: Sinar Harian

Saya berhak bersuara – Tengku Razaleigh

KOTA BHARU 29 Jan. – Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah menegaskan beliau berhak untuk menyuarakan pandangannya tentang royalti petroleum yang dituntut oleh kerajaan negeri.

Bekas Menteri Kewangan itu berkata, beliau bebas untuk bersuara selagi ia tidak melanggar undang- undang dan disiplin parti walaupun berada di atas pentas pembangkang malam tadi.

Bagaimanapun bekas Pengerusi Petronas itu menolak dakwaan kononnya tindakan tersebut adalah langkah awal untuk beliau menyertai pakatan pembangkang.

“Saya bebas dan boleh bersuara apa yang saya suka asalkan tidak melanggar perlembagaan dan undang-undang yang terpakai di negara ini serta disiplin parti.

“Saya bukan pak turut, malah pada zaman Tunku Abdul Rahman, Tun Razak, Tun Hussein Onn dan Tun Dr. Mahathir Mohamad, saya tidak pernah menjadi pak turut. Kalau orang ajak kita masuk ‘rok’ (semak), kita masuk ‘rok’ lah ,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Solat Hajat dan Ceramah Perdana Royalti Petroleum di Stadium Sultan Muhammed IV di sini malam tadi.

Turut hadir ialah Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan barisan Exco kerajaan negeri serta kira-kira 20,000 rakyat negeri ini.

Penyertaan Tengku Razaleigh dalam ceramah itu mencetuskan kontroversi kerana beliau berada di atas pentas kerajaan negeri yang ditunjangi Pas.

Sementara itu, ketika menyampaikan ceramah, Tengku Razaleigh berkata, kehadirannya pada malam tersebut adalah berdasarkan prinsipnya yang mahu menegakkan keadilan dan memperjuangkan nasib rakyat Kelantan yang ditindas selama ini.

“Sebelum saya hendak datang sini ada orang hendak halang saya kerana melanggar disiplin parti tetapi apa saya peduli, saya hanya mahu menyatakan kebenaran selepas melihat rakyat Kelantan ditindas. Sepatutnya apa yang saya nyatakan pada malam ini telah dinyatakan 36 tahun yang lalu.

“Sebagai orang yang terlibat dalam penubuhan Petronas dan berdasarkan Akta Kemajuan Petroleum, saya tahu kerajaan negeri sememangnya berhak untuk menerima royalti sebanyak lima peratus walaupun pada kawasan bertindih dengan Thailand,” katanya.

Katanya, jika Kerajaan Pusat tidak yakin dengan kebolehan kerajaan negeri untuk menguruskan royalti itu, beliau mencadangkan supaya sebuah jawatankuasa pemantau ditubuhkan untuk memastikan wang berkenaan diuruskan dengan baik.

Jelasnya, beliau sendiri sedia menjadi ‘jambatan’ bagi menghubungkan pihak berkenaan demi pembangunan dan kepentingan negeri serta rakyat.

“Saya rasa kerana mereka tak begitu yakin dengan kerajaan negeri disebabkan pimpinan Pas, barangkali saya fikir itu sebab berlengah tak nak bagi royalti kepada Kelantan.

“Saya sanggup menjadi jambatan untuk berhubung antara Kerajaan Pusat dengan kerajaan negeri dan Petronas supaya dapat kita laksanakan dengan baik demi faedah Kelantan,” katanya.

Sumber: Utusan Malaysia

Thursday, January 28, 2010

KAMI MAHUKAN ROYALTI.....WE WANT ROYALTI...AMBO NAK ROYALTI


Itulah yang dapat digambarkan dengan kata kata melihat kepada kehadiran rakyat Kelantan semasa program Solat Hajat dan ceramah Perdana Royalti Petroleum pada 28hb Jan 2010 iaitu semalam. Stadium Muhammad Ke 4 dipenuhi lautan manusia berketayap dan berkelubung putih pada malam itu. Dengan segenap stadium di penuhi lautan manusia yang dengan rela hati datang tanpa di paksa dan di upah, ini menunjuk jelas sekali rakyat Kelantan mahukan royalti bukannya wang ehsan.

Benar la kata kata Mantan Pengerusi Petronas, Tengku Razaleigh Hamzah " “Itulah saya katakan (bahawa) kita semua walau pun (dianggap) miskin di Kelantan ni, (namun) kita bukanlah tok fakir (peminta sedekah),”

Royalti jelasnya adalah hak Kelantan mengikut perjajian yang dibuat kerajaan negeri itu dengan Petronas di bawah Akta Pembangunan Petronas 1974 (PDA) sewaktu beliau menjadi pengerusi.

Siaran LIVE Solat Hajat & Ceramah Royalti Petroleum

Secara Langsung dibawakan untuk anda program Solat Hajat & Ceramah Royalti Petroleum malam ini bermula jam 7 malam dari Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu. Bersama YAB Tuan Guru Dato' MB Kelantan dan Ahli Parlimen G.Musang, YBM Tengku Razaleigh Hamzah menerusi Kelantan TV di www.mykelantan.tv.

Semua dijemput HADIR atau ikuti secara LIVE pada malam ini ya.

Sunday, January 24, 2010

Banner GEGAR

Banner GEGAR

Royalti: Pendirian tegas Nik Aziz disokong

KOTA BHARU, 25 Jan: Pelbagai pihak di sini mahu kerajaan negeri mempertahankan tuntutan royalti minyak dan bukan wang ihsan seperti dicanang pemimpin Umno.

Malah mereka menganggap ketegasan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menolak cadangan melantik wakil kerajaan negeri dalam Jawatankuasa Wang Ihsan di bawah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) sebagai tepat.

Pengerusi bersama Gerakan Bertindak Kembalikan Royalti Rakyat (Gegar), Dr Abdul Halim Yusoff berkata, kerajaan negeri perlu mempertahankan hak ke atas royalti sebagaimana termaktub dalam Akta Petroleum 1974.

Katanya, kerajaan pusat sebenarnya tidak ada hak ke atas royalti tersebut kerana perjanjian dibuat antara kerajaan negeri dengan Petronas dan bukan kerajaan pusat.

“Sekarang kita pun hairan dari mana pula kuasa kerajaan pusat untuk menentukan royalti menjadi wang ihsan.

“Ini langsung telah melanggarkan lunas-lunas federalisme yang dilaungkan kerajaan sejak merdeka,” katanya di sini.

Semalam, Menteri Besar Kelantan menolak pelantikan wakil kerajaan negeri dalam Jawatankuasa Pembangunan Wang Ihsan yang akan diletak di bawah JPP.

Sebelum itu Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin memberitahu kerajaan pusat akan menubuh jawatankuasa terbabit bagi menentukan kaedah penyaluran wang ihsan hasil petroleum yang dicari gali di perairan Kelantan.

Dr Abdul Halim bimbang wang ihsan hanya akan menjadi alat politik kepada pemerintah dan bukan bagi memberi manfaat secara langsung kepada rakyat.

“Tidak mustahil ia akan menjadi alat kepada kempen Umno bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang seperti pernah berlaku di Terengganu,” ujarnya.

Oleh itu, beliau menyokong pendirian Menteri Besar menolak menghantar sebarang wakil dalam Jawatankuasa Pembangunan Wang Ihsan.

Dewan Pemuda PAS Kelantan turut menyokong penuh pendirian tegas Tuan Guru Nik Abdul Aziz bagi mempertahankan hak Kelantan ke atas royalti minyak.

Ketuanya, Abdul Latif Abdul Rahman berkata, tidak berbangkit sama sekalik kewujudan Jawatankuasa Pembangunan Wang Ihsan kerana ia bertentangan dengan perjanjian yang ditandatangani berpuluh tahun lalu.

“Sepatutnya kerajaan negeri yang mencadangkan pelantikan wakil kerajaan pusat dalam jawatankuasa royalti minyak kerana ia menjadi hak mutlak kerajaan negeri.

“Dan JPP pula suatu entiti yang tidak sepatutnya wujud kerana jabatan itu hanya ada di negeri-negeri yang BN kalah. Peranan JPP bercanggah dengan konsep federalisme.

“Oleh itu Dewan Pemuda mencadangkan JPP dibubarkan sekiranya benar Perdana Menteri mahu mengamalkan konsep 1Malaysia,” ujarnya.

Sumber: Harakahdaily

Tuesday, January 19, 2010

Perhimpunan tuntut royalti minyak K'tan 28 Jan


Jan 19, 10 5:25pm
Gerakan Bertindak Kembalikan Royalti Minyak Rakyat Kelantan (GEGAR) memberi jaminan perhimpunan 100,000 rakyat Kelantan yang dijadual diadakan pada 28 Januari nanti, telah mendapat kebenaran pihak keselamatan.

Pengerusi GEGAR, Dr Abdul Halim Yusof berkata perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat jawatankuasa induk penganjuran yang akan diadakan di Kota Bharu Khamis ini.

Menurutnya, jawatankuasa itu melibatkan semua pihak, termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pihak polis dan agensi pihak berkuasa kerajaan tempatan.

"Kita memberi jaminan perhimpunan itu dapat diadakan mengikut jadual demi keselamatan dan keamanan semua pihak, dan keputusan itu akan diambil dalam mesyuarat lusa ini," katanya kepada pemberita di Kota Bharu hari ini.

Dr Abdul Halim berkata pihaknya sudah mengkaji pelbagai aspek sebelum menganjurkan perhimpunan itu yang melibatkan semua pihak berkaitan, seperti polis, pihak berkuasa kerajaan tempatan MPKB bagi melicinkan perjalanan program itu.

Menurutnya, untuk program pertama, bekas Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah sudah menyatakan persetujuan untuk menjadi penceramah utama menjelaskan tentang isu royalti minyak di majlis penerangan di Stadium Sultan Muhammad Keempat pada 28 Januari ini.

"Program itu yang pada mulanya akan diadakan di Kelantan Trade Center (KTC) di sini (Kota Bharu) telah dipindahkan ke lokasi baru di stadium itu bagi memberi keselesaan kepada rakyat Kelantan menyertainya," katanya.

Menurutnya, ini diikuti program kedua akan diadakan debat terbuka di Balai Islam Lundang di Kota Bharu pada 13 Februari yang melibatkan pemimpin politik dan wakil rakyat.

Beliau berkata, antara pemimpin yang diundang menyertai debat itu ialah Tengku Razaleigh selaku Pengasas Petronas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz; Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed dan Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub, dan Exco Kanan kerajaan negeri, Datuk Husam Musa.

Menurutnya, sebelum majlis bermula, para hadirin dijadual mengadakan solat hajat di padang Stadium Sultan Muhammad ke-IV bagi memohon keberkatan Allah menjayakan program itu.

Sumber: Bernama

Wednesday, January 13, 2010

Daulat Tuanku


Banner Daulat Tuanku!

- Ikhlas daripadaGEGAR.

Tuesday, January 12, 2010

Mustapa diundang khas sertai debat royalti 13 Februari

KOTA BHARU, 13 Jan:(Muhammad Yusri Amin) Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed yang menolak tuntutan royalti minyak kepada rakyat negeri ini dianggap mahu terus bersandiwara.

Ini kerana kenyataan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu seakan-akan menafikan keputusan dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang mengakui Kelantan ada hak ke atas royalti minyak.

Ekoran kenyataan yang sering berdolak dalih itu, beliau diundang khas pada debat royalti minyak yang dijangka diadakan di Balai Islam, Lundang pada 13 Februari depan.

Program tersebut dianjurkan Gerakan Bertindak Kembalikan Royalti Rakyat (Gegar) bersama 50 badan bukan kerajaan (NGO) lain.

Pengerusi Gegar, Dr Abdul Halim Yusof berkata, empat tokoh yang dianggap proroyalti dan antiroyalti djemput khas bagi menghuraikan pendirian masing-masing.

Mereka iaitu Mustapa, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, anggota parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub dan anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Husam Musa.

“Berdasarkan surat jemputan yang difakskan kepada mereka, kami difahamkan tokoh terbabit setuju untuk hadir dan mengambil bahagian,” katanya di sini.

Gegar merupakan gabungan badan bukan kerajaan (NGO) berjuang bersama rakyat menuntut hak mendapatkan bayaran royalti minyak selaras dengan perjanjian dan undang-undang.

Mustapa sebelum ini menyebut kerajaan pusat tidak bercadang mengkaji tuntutan baru kerajaan Kelantan ke atas royalti minyak yang bersempadan dengan perairan Terengganu.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Dr Halim yang juga seorang pakar perubatan berkata, veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah bersetuju memberi penjelasan mengenai royalti minyak pada 28 Januari ini yang diadakan di Dewan Konvensyen Kelantan Trade Centre (KTC) mulai jam 9.30 malam.

Sumber: Harakahdaily

Ku Li disah hurai isu royalti minyak Jan 28

Oleh Mohd Zuharman

Bekas pengerusi Petronas, Tengku Razaleigh Hamzah akan muncul di pentas ceramah isu tuntutan royalti petroleum di Dewan Utama, Kelantan Trade Centre di sini hujung bulan ini.Pengerusi bersama Gerakan Bertindak Kembalikan Royalti Rakyat (Gegar), Dr Abdul Halim Yusof berkata program itu akan diadakan 28 Jan, mulai pukul 9.30 malam.


“Yang Berhormat Mulia Tengku Razaleigh telah menyatakan dan mengesahkan kesanggupannya berhubung perkara itu kepada Gegar. Beliau sanggup hadir ke program tersebut demi rakyat,” katanya.

Menurut Halim, ceramah tersebut diadakan bagi memberi penerangan dan penjelasan sebenar tentang royalti petroleum mengikut Akta Pembangunan Petroleum 1974 dari perspektif orang yang bertanggungjawab membuat draf undang-undang berkaitan.

“Saya kira Tengku Razaleigh adalah orang yang paling memahami maksud yang tersurat dan tersirat tentang akta tersebut. Semoga dengan penerangan itu akan dapat memecahkan segala kebuntuan berhubung isu tersebut selama ini.

“Selain itu, mengingatkan semua pihak akan hak sesebuah negeri di Malaysia dalam amalan federalisme. Isu ini lebih utama lagi dalam konteks falsafah dan amalan federalisme dalam persekutuan.

“Hak-hak negeri mesti ditunaikan dan sama sekali tidak boleh diceroboh seperti mana yang ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan Malaysia. Dan rakyat Kelantan menuntut hak-haknya yang dijamin oleh perlembagaan,” tegasnya.

Program ceramah perdana ini adalah salah satu aktiviti “roadshow” yang dianjurkan Gegar di seluruh negara.

Sementara itu program Debat Royalti Minyak pula akan diadakan 13 Feb ini di Dewan Balai Islam Lundang dekat sini.

Siri debat itu akan membariskan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz, Pengerusi Umno Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed, Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub dan Exco kerajaan negeri, Datuk Husam Musa.

Sumber: Malaysia Insider

Ceramah rungkai isu royalti minyak

KOTA BHARU - Bagi memberi penerangan dan penjelasan sebenar berkaitan isu royalti minyak, satu ceramah perdana akan diadakan jam 9.30 malam 28 Januari di Dewan Utama, Kelantan Trade Centre (KTC).

Ceramah anjuran Gerakan Bertindak Kembalikan Royalti Minyak (GEGAR) itu akan disampaikan bekas Pengerusi PETRONAS, Tan Sri Razaleigh Hamzah bertujuan untuk merungkai kebenaran tentang royalti Petroleum mengikut Akta Pembangunan 1974 dari perspektif orang yang bertanggungjawab membuat draf undang-undang.

Pengerusi Bersama GEGAR, Dr Abdul Halim Yusof berkata, Tengku Razaleigh adalah orang yang tepat untuk berbicara isu royalti minyak sebagai pihak yang memahami maksud tersurat dan tersirat tentang akta tersebut.

”Selain memberi penjelasan sebenar berkaitan royalti minyak ini, tujuan kedua ianya diadakan adalah untuk menggesa pihak yang beriya-ia menafikan hak royalti milik Kerajaan Negeri ini supaya berhenti daripada berbohong dan mengelirukan rakyat Kelantan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada majlis sidang media dekat sini.

GEGAR adalah gabungan 50 badan bukan kerajaan (NGO) dari Kelantan dan Terengganu bertujuan untuk menjalankan aktiviti-aktiviti berkaitan NGO di dua negeri ini.

Abdul Halim berkata, dalam masa sama ceramah berkenaan untuk mengingatkan semua pihak akan hak sesebuah negeri di Malaysia dalam amalan federasalisma di mana hak-hak negeri mesti ditunaikan dan sama sekali tidak boleh diceroboh seperti mana ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan Malaysia.

Katanya, keluhuran perlembagaan sebagai satu rukun negara menuntut kesaksamaan dan pelaksanaan mengikut lunas-lunas ditetapkan, maka rakyat Kelantan berhak menuntut hak mereka yang dijamin oleh perlembagaan.

Beliau berkata, pemberian wang ihsan hanya akan merugikan rakyat Kelantan sendiri dari segi pelaksanaan, penggunaan dan pengagihan dana tersebut berbanding dengan pembayaran royalti.

”Rakyat sudah bosan apabila mereka diperbodohkan dengan pelbagai penerangan dalam isu royalti minyak ini yang diputar belit oleh pihak-pihak tertentu termasuk segelintir rakyat Kelantan sendiri.

”Mereka menolak wang ihsan kerana ia bertentangan dengan maksud dan hak yang terkandung dalam perjanjian yang telah dipersetujui oleh Kerajaan Negeri Kelantan dengan PETRONAS dan ditandatangani pada tahun 1975,” katanya.

Sementara itu, GEGAR juga akan menganjurkan Debat Terbuka Royalti Minyak yang akan diadakan pada 13 Februari ini di Balai Islam.

Debat ini akan menemukan empat pendebat yang proroyalti dan anti-royalti(pro wang ihsan) iaitu Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz bersama Menteri Perdagangan Antarbangsa dan Industri Datuk Seri Mustapha Mohamed dan Naib Presiden II Pas, Salahudin Ayub bersama Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa.

Abdul Halim berkata, buat masa sekarang, pihaknya masih belum menerima persetujuan secara rasmi tetapi secara lisannya, kesemua pendebat sudah bersetuju untuk menjayakan program berkenaan.

”Kita berharap debat ini akan menyelesaikan segala isu berkaitan dan memastikan rakyat mendapat penjelasan serta menangkis kekeliruan dan penipuan yang merugikan rakyat,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

WANG EHSAN .......BUKAN EHSAN TAPI MUSLIHAT

KENYATAAN AKHBAR - GERAKAN BERTINDAK KEMBALIKAN ROYALTI RAKYAT (GEGAR)


WANG EHSAN .......BUKAN EHSAN TAPI MUSLIHAT

Gerakan Bertindak Kembalikan Royalti Rakyat (GEGAR) ingin memaklumkan bahawa satu Ceramah Perdana yang akan disampaikan oleh YBM Tengku Razaleigh Hamzah, bekas Pengerusi PETRONAS, akan diadakan pada 28 Januari 2010 (Khamis) bertempat di Dewan Utama, Kelantan Trade Centre, Kota Bharu pada jam 9.30 malam.

Ceramah Perdana ini adalah anjuran GEGAR. Kami menjemput semua rakyat Kelantan dan orang ramai hadir ke ceramah ini.

Ceramah Perdana ini dianjurkan dengan tujuan berikut:

Pertama, memberi penerangan dan penjelasan sebenar tentang royalti petroleum mengikut Akta Pembangunan Petroleum 1974 dari persepektif orang yang bertanggungjawab membuat draf undang-undang tersebut dan orang yang memahami maksud yang tersurat dan tersirat tentang akta tersebut.

Kedua, menggesa mereka yang sangat beriya-iya menafikan hak royalti milik kerajaan negeri ini supaya berhenti daripada berbohong dan mengelirukan rakyat Kelantan.

Dan, ketiga untuk mengingatkan semua pihak akan hak sesebuah negeri di Malaysia dalam amalan federalisma. Isu ini lebih utama lagi dalam konteks falsafah dan amalan federalisma dalam Persekutuan Malaysia. Hak-hak negeri mesti ditunaikan dan sama sekali tidak boleh diceroboh seperti mana yang ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan Malaysia. Keluhuran perlembagaan sebagai satu rukun negara menuntut kesaksamaan dan perlaksanaan mengikut lunas-lunas yang ditetapkan. Rakyat Kelantan menuntut hak-haknya yang dijamin oleh perlembagaan.

Rakyat sudah bosan apabila mereka diperbodohkan dengan pelbagai penerangan dalam isu royalti minyak ini yang berputar belit oleh pihak tertentu termasuk segelintir di kalangan rakyat kelantan sendiri.. Apakah muslihat sebenar dan apakah mereka mahu mengkhianati amanah rakyat Kelantan?

Rakyat Kelantan menolak wang ehsan kerana ia adalah bertentangan dengan maksud dan hak yang terkandung dalam perjanjian yang telah persetujui oleh Kerajaan Negeri Kelantan dengan PETRONAS yang telah ditandatangani pada tahun 1975.

Sesungguhnya, wang ehsan akan merugikan rakyat Kelantan dari segi perlaksanaan, penggunaan dan pengagihan dana tersebut berbanding dengan pembayaran royalti.

Program Ceramah Perdana ini adalah salah satu dari siri-siri ceramah secara roadshow yang akan GEGAR anjurkan di seluruh Malaysia


DEBAT ROYALTI MINYAK

GEGAR juga ingin memaklumkan tentang program kedua anjuran kami pprogram Debat Royalti Minyak yang akan diadakan pada 13 Februari 2010 (Sabtu) di Balai Islam Kota Bharu.

Debat ini akan menemukan empat pendebat yang proroyalti dan yang anti-royalti (prowang-ehsan). Mereka ialah YB Tan Sri Nazri Aziz dan YB Dato Seri Mustapha Muhamad, YB Salahudin Ayub dan YB Dato Husam Musa,

Surat-surat jemputan kami faks hari ini dan kami difahamkan semua pihak bersetuju untuk hadir untuk menjayakan program ini dan kami amat berterima kasih atas semangat ini.

GEGAR sebagai gabungan NGO-NGO akan terus bersama rakyat menuntut hak-hak mereka dan akan memastikan rakyat mendapat penjelasan serta menangkis kekeliruan dan penipuan yang merugikan rakyat.

“Kembalikan Royalti Hak Negeri”



Dr Abdul Halim Yusof
Pengerusi Bersama
Gerakan Bertindak Kembalikan Royalti Rakyat (GEGAR)

Kota Bharu
12.01.2010

Friday, January 8, 2010

Ceramah Royalti Petroleum Ku Li Pada 28 Januari 2010

8 Januari 2010 (Jumaat). Satu delegasi Gerakan Bertindak Kembalikan Royalti Rakyat (GEGAR) telah mengadakan satu pertemuan dengan YBM Tengku Razaleigh Hamzah, Ahli Parlimen Gua Musang dan merupakan pengasas Petronas di Kelab Golf Diraja Selangor.

Delegasi itu diketuai oleh Setiausaha GEGAR dan disertai oleh 3 orang AJK Pusat GEGAR yang lain. Pertemuan selama 3 jam itu bagi membicangkan tentang Akta Kemajuan Petronas 1974, Perjanjian Kerajaan Negeri Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak dengan Petronas, Persempadanan laut, JDA, CAA dll.

Pada pertemuan tersebut YBM Tengku bersetuju untuk hadir ke program (comfirm) Ceramah Royalti Petroleum yang akan diadakan pada 28 Januari 2010 (Khamis) bertempat di Dewan Besar, Kelantan Trade Centre (KTC), Kota Bharu bermula jam 7 malam dimulakan dengan program solat Maghrib, Solat Hajat dan Solat Isya berjemaah dan ceramah umum yang akan disampaikan sendiri oleh YBM Tengku.

Semua rakyat Kelantan adalah dijemput hadir beramai-ramai, tanpa mengira fahaman politik, agama dan kaum.

Terima kasih kepada YBM kerana sudi menerima kunjungan daripada wakil GEGAR ke rumah beliau dan sudi meluangkan masa bagi membincangkan hal0-hal berkaitan Royalti Petroleum.