Tuesday, January 12, 2010

Ku Li disah hurai isu royalti minyak Jan 28

Oleh Mohd Zuharman

Bekas pengerusi Petronas, Tengku Razaleigh Hamzah akan muncul di pentas ceramah isu tuntutan royalti petroleum di Dewan Utama, Kelantan Trade Centre di sini hujung bulan ini.Pengerusi bersama Gerakan Bertindak Kembalikan Royalti Rakyat (Gegar), Dr Abdul Halim Yusof berkata program itu akan diadakan 28 Jan, mulai pukul 9.30 malam.


“Yang Berhormat Mulia Tengku Razaleigh telah menyatakan dan mengesahkan kesanggupannya berhubung perkara itu kepada Gegar. Beliau sanggup hadir ke program tersebut demi rakyat,” katanya.

Menurut Halim, ceramah tersebut diadakan bagi memberi penerangan dan penjelasan sebenar tentang royalti petroleum mengikut Akta Pembangunan Petroleum 1974 dari perspektif orang yang bertanggungjawab membuat draf undang-undang berkaitan.

“Saya kira Tengku Razaleigh adalah orang yang paling memahami maksud yang tersurat dan tersirat tentang akta tersebut. Semoga dengan penerangan itu akan dapat memecahkan segala kebuntuan berhubung isu tersebut selama ini.

“Selain itu, mengingatkan semua pihak akan hak sesebuah negeri di Malaysia dalam amalan federalisme. Isu ini lebih utama lagi dalam konteks falsafah dan amalan federalisme dalam persekutuan.

“Hak-hak negeri mesti ditunaikan dan sama sekali tidak boleh diceroboh seperti mana yang ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan Malaysia. Dan rakyat Kelantan menuntut hak-haknya yang dijamin oleh perlembagaan,” tegasnya.

Program ceramah perdana ini adalah salah satu aktiviti “roadshow” yang dianjurkan Gegar di seluruh negara.

Sementara itu program Debat Royalti Minyak pula akan diadakan 13 Feb ini di Dewan Balai Islam Lundang dekat sini.

Siri debat itu akan membariskan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz, Pengerusi Umno Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed, Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub dan Exco kerajaan negeri, Datuk Husam Musa.

Sumber: Malaysia Insider

No comments:

Post a Comment