Sunday, January 31, 2010

Nik Aziz dakwa Pusat banyak dalih

KUALA LUMPUR 31 Jan. - Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mendakwa Kerajaan Pusat banyak berdalih tentang isu royalti hasil petroleum yang perlu dibayar kepada negeri itu.

Katanya, Kerajaan Pusat telah mereka-reka pelbagai tafsiran di sebalik perjanjian yang dibuat berhubung pembayaran royalti yang telah dimeterai antara Petronas dengan kerajaan negeri Kelantan sejak 1975 lagi.

''Mereka (Kerajaan Pusat) tidak mahu berlaku adil untuk Kelantan. Malah mereka telah memalingkan hakikat keadilan kepada keputusan yang zalim.

"Mereka menolak membayar royalti dan menukar royalti kepada wang ihsan," katanya di dalam blog www.blogtokguru.com baru-baru ini.

Mursyidul Am Pas itu turut mendakwa keputusan kerajaan untuk memberikan wang ihsan dan bukannya membayar royalti itu telah menzalimi seluruh rakyat Kelantan dan satu penghinaan kepada kerajaan negeri itu.

Sehubungan itu katanya, kerajaan negeri tetap bertegas tidak akan menerima wang ihsan yang akan diberikan kerajaan pusat bermula Mac ini.

Katanya, keengganan kerajaan negeri untuk menerima wang ihsan itu bukan untuk mempolitikkan isu pembayaran royalti tersebut.

"Sebaliknya, tindakan Kerajaan Pusat menukar royalti kepada wang ihsan, tidak mematuhi perjanjian dan berunding dengan Petronas serta berselindung di sebalik nama Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) sebenarnya telah mempolitikkan isu royalti atau wang ihsan ini," katanya.

Sumber: Utusan Malaysia

1 comment: