Saturday, January 30, 2010

Kelantan mahu royalti bukan wang ihsan

ADA yang kata itu ceramah politik untuk memancing undi (pilihan raya jauh lagi!). Ada juga yang menganggapnya sebagai cara untuk menonjolkan diri. Malah ada yang menuduh Tengku Razaleigh Hamzah menjadi pembelot UMNO kerana bercakap di pentas Pas.

Apa pun andaian yang dibuat, perhimpunan raksasa di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Kelantan, malam 28 Januari lalu, memang mendapat sambutan rakyat dengan kehadiran lebih 30,000 orang.

Perlu dijelaskan bahawa perhimpunan tersebut bukan anjuran BN, bukan UMNO, bukan juga Pas. Perhimpunan hari Khamis malam Jumaat itu dianjurkan oleh Gerakan Bertindak Kembalikan Royalti Rakyat atau Gegar, yang mewakili lebih 50 pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Ada yang berasa pelik bahawa Razaleigh sebagai Wakil Rakyat UMNO kawasan Parlimen Gua Musang bercakap panjang lebar pada majlis yang dihadiri ramai penyokong dan pemimpin Pas, termasuk Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Bergantung kepada tanggapan masing-masing, pada hemat saya ucapan Yang Berhormat Gua Musang pada malam itu tidak berbau politik. Beliau bercakap mengenai royalti minyak. Secara kebetulan isu royalti minyak Kelantan menjadi hangat sejak akhir-akhir ini dengan Nik Aziz berkeras menuntut pembayaran royalti dari Kuala Lumpur.

Maka dalam konteks itu mungkin ada yang menganggap ceramah Ku Li malam itu ada kaitan dengan politik. Itu adalah tanggapan sesetengah pihak dan setiap orang bebas membuat apa saja tanggapan.



* SEPERTI semua orang tahu Ku Li yang sudah lama dalam politik, adalah bekas Menteri Kewangan. Beliau juga mengasaskan Petronas dan pernah menjadi Pengerusi syarikat minyak negara.

Atas pengalaman itu beliau adalah antara orang paling layak untuk bercakap mengenai royalti minyak.

Sebagai rakyat Cik Siti Wan Kembang, kerabat diraja Kelantan itu berasa terpanggil untuk menghuraikan cerita minyak – termasuk kedudukan royalti minyak – untuk pengetahuan bukan sahaja rakyat Kelantan malah seluruh rakyat Malaysia.

Seperti yang dijelaskan oleh Ku Li pada perhimpunan itu, dari sudut undang-undangnya Kelantan memang berhak mendapat royalti minyak 5 peratus, berdasarkan perjanjian yang dibuat pada 1974 antara Petronas dengan Kerajaan Negeri.

Maka tidak salah Nik Aziz menuntut royalti itu daripada Kerajaan Pusat. Kerajaan Negeri tidak mahu menerima wang ihsan, sebab dengan memberi wang ihsan berjumlah RM20 juta seperti yang diumumkan Datuk Mustafa Mohamed, perjanjian 1974 itu telah diingkari.

Perkara ini mudah dan jelas, tidak perlu hendak dipanjangkan lagi, tidak perlu juga hendak dijadikan gurindam dan Mak Yong politik. Ikut sahaja isi perjanjian 1974 itu dan semua orang boleh tidur lena.



* NAMPAKNYA Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim tidak berapa berkenan dengan Ku Li bercakap mengenai royalti minyak di perhimpunan raksasa itu.

Kata Menteri itu, isu tuntutan royalti petroleum oleh Kerajaan Kelantan perlu diselesaikan menerusi saluran undang-undang di mahkamah dan bukannya melalui ceramah di stadium.

Antara kata-kata Dr Rais seperti disiarkan media: ‘‘Bagi sesetengah orang yang lupa asal-usul, mereka terus memberi ceramah dan membangkitkan isu bukan-bukan.”

Saya tidak fikir Ku Li lupa asal-usul, lebih-lebih lagi kedua-dua tokoh veteran ini pernah tidur sekelambu satu ketika dulu, malah salah seorang darinya pernah ‘membakar jambatan’. Jambatan itu bagaimana pun ‘dipulihkan’ sekarang!

Juga saya tidak fikir apa yang dicakapkan oleh Ku Li di Kota Bharu malam itu adalah ‘isu yang bukan-bukan’. Royalti minyak adalah isu besar dan Kelantan menuntut hanya apa yang patut dituntut, tidak lebih dan tidak kurang. Serambi Mekah tidak mahu wang ihsan, sebaliknya mahukan royalti. Itu saja.

Mengenai menyelesaikan isu ini di mahkamah, seperti yang dicadangkan Rais, pada hemat saya bukan semua perkara dapat diselesaikan di mahkamah.

Dalam kes royalti keadaannya memang sudah jelas seperti termaktub dalam perjanjian 1974. Kalau semua pihak mematuhi semangat perjanjian tersebut, isu ini boleh diselesaikan secara aman, tidak perlu pakai peguam.

Lagi pun mahkamah tidak semestinya menyelesaikan masalah. Kalau silap gaya boleh menambahkan lagi masalah, seperti yang terjadi dalam isu kalimah Allah yang cuba diselesaikan menerusi mahkamah.

Sumber: Sinar Harian

1 comment: