Friday, January 29, 2010

Kelantan berhak terima 5 peratus


KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan sememangnya berhak menerima royalti sebanyak lima peratus walaupun pada kawasan bertindih dengan Thailand.

“Sebagai orang yang terlibat dalam penubuhan Petronas dan berdasarkan Akta Kemajuan Petroleum, saya tahu Kerajaan Negeri sememangnya berhak menerimanya," kata Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li).

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas berucap pada Majlis Solat Hajat dan Ceramah Perdana Royalti Petroleum di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV di sini, malam kelmarin.

Pada majlis tersebut, lebih 40,000 rakyat Kelantan membanjiri stadium tersebut untuk mendengar penjelasan daripada Ku Li.

Dalam ucapan itu, Ku Li turut mencadangkan penubuhan sebuah jawatankuasa pemantau bagi memastikan wang berkenaan diuruskan dengan baik sekiranya Pusat tidak yakin dengan kebolehan Kerajaan Negeri.

“Saya rasa kerana mereka (Kerajaan Pusat) tak begitu yakin dengan kerajaan Kelantan disebabkan pimpinan Pas, barangkali saya fikir itu sebab berlengah tak nak bagi royalti kepada Kelantan.

“Saya sanggup menjadi jambatan untuk berhubung dengan Kerajaan Pusat, Kerajaan Negeri dan Petronas supaya dapat kita laksanakan dengan baik demi faedah Kelantan,” katanya.

Sementara itu, beliau juga menafikan dakwaan sesetengah pihak yang kononnya beliau akan menyertai Pakatan Rakyat (PR) ekoran keputusannya untuk menyampaikan ceramah bersama kerajaan Kelantan dalam usaha menuntut hak royalti minyak dan gas oleh Kerajaan Negeri.

Sebaliknya, Ku Li berkata, beliau mempunyai hak untuk memberikan pendapat dan panda:ngan berhubung tuntutan royalti yang dituntut Kerajaan Negeri.

Sebelum ini, kesudian Ku Li menyertai ceramah mencetuskan kontroversi kerana bersama Kerajaan Negeri yang ditadbir Pas.

“Saya bebas bersuara apa yang saya suka asalkan saya tidak langgar Perlembagaan dan undang-undang yang terpakai di negara ini serta disiplin UMNO.

“Saya bukan pak turut, malah pada zaman Tunku (Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj), Tun Razak, Tun Hussein Onn dan Dr Mahathir Mohamad, saya tidak pernah (menjadi pak turut). Kalau orang ajak kita masuk semak, kita masuk semaklah,” katanya.

Hadir sama pada majlis itu Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Timbalannya, Datuk Ahmad Yakub, Pengerusi Jawatankuasa Tuntutan Royalti, Datuk Husam Musa, barisan Exco Kerajaan Negeri dan pemimpin-pemimpin PR.

Ku Li yang juga bekas Pengerusi Petronas berkata, kehadirannya pada malam tersebut adalah atas prinsipnya untuk menegakkan keadilan dan memperjuangkan nasib rakyat Kelantan.

“Sebelum saya datang ke sini ada orang hendak halang saya kerana melanggar disiplin parti. Tetapi saya peduli apa. Saya cuma nak beritahu kebenaran selepas melihat rakyat Kelantan ditindas. Sepatutnya apa yang saya nyatakan pada malam ini telah dinyatakan 36 tahun lalu," katanya.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

Post a Comment