KOTA BARU, 17 Mac — Gerakan Bertindak Kembalikan Royalti Rakyat (Gegar) dan Majlis Permuafakatan Rakyat Terengganu (Mampat) mempertingkatkan usaha menuntut wang royalti minyak untuk Kelantan dengan mengaturkan tiga program besar bermula esok.
Esok, Tengku Razaleigh Hamzah, Ketua Umno Gua Musang dan bekas pengerusi Petronas akan menyampaikan ceramah perdananya berhubung isu tersebut di Kuala Ibai, Terengganu.
Hampir dua bulan lalu Tengku Razaleigh menyampaikan ceramah yang sama di Kota Baru.
Pada ceramah itu beliau yang juga bekas menteri kewangan menegaskan Kelantan layak menerima wang tunai atau royalti minyak lima peratus, bukannya wang ihsan.
Sabtu lalu, Tengku Razaleigh berkata beliau akan sekali lagi muncul pada program seumpama itu jika diberi peluang dan dianjurkan oleh NGO.
Sabtu ini, Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat akan menyempurnakan pelepasan konvoi 200 buah kereta peserta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang akan membawa memorandum Rakyat Menuntut Royalti untuk diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Mizan Zainal Abidin di Terengganu.
Konvoi berkenaan akan bermula di Bukit Yong, Pasir Puteh sempadan Kelantan – Terengganu kira-kira pukul 8 pagi.
Pengerusi Bersama Gegar dan Mampat Fauzi Abu Samah memaklumkan perkara itu melalui satu kenyataan dikeluarkannya pagi ini.
“Memorandum tersebut akan diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong di Lapangan Terbang Sultan Mahmud Kuala Terengganu sempena keberangkatan tiba Seri Paduka ke Terengganu.
“Tuanku dijangka tiba kira-kira 11.45 pagi.
“Dua memorandum akan diserahkan pada hari tersebut melibatkan negeri Kelantan dan Terengganu,” katanya.
Mac 2010 genap 10 tahun Terengganu dinafikan hak royalti oleh kerajaan pusat.
Kelantan menuntut royalti awal tahun lalu.
Mampat dan Gegar merupakan badan NGO yang telah menjadikan isu royalti sebagai suatu agenda khusus dalam perjuangannya.
“Kami bertegas mengatakan bahawa royalti adalah hak rakyat berdasarkan kepada fakta dan sejarah, dan mesti diserahkan melalui saluran yang betul iaitu kerajaan Negeri yang dipilih rakyat melalui sistem demokrasi berpelembagaan,” jelasnya.
oleh: Zuharman.
Sumber: Malaysia Insider
No comments:
Post a Comment