Monday, February 15, 2010

Ku Li sedia dihukum

KOTA BHARU - Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) menegaskan beliau tetap ahli UMNO dan sanggup menerima apa tindakan disiplin yang akan diambil ke atasnya sekiranya tindakan beliau menggunakan platform NGO untuk menerangkan kedudukan sebenar berhubung royalti minyak dianggap menyalahi undang-undang dan perlembagaan parti.

Pegawai Khasnya, Mohd Lokman Ghani berkata, tindakan Tengku Razaleigh itu adalah berasaskan pendiriannya yang ingin menyampaikan kebenaran kepada rakyat berhubung isu tuntutan royalti minyak yang dibuat oleh Kerajaan Negeri Kelantan.

“Saya merasa kecewa dengan kenyataan Timbalan Perdana Menteri (TPM) yang juga Timbalan Presiden Parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang seolah-olah tidak faham dan masih tidak faham tentang pendirian Ku Li.

“Sedangkan Ku Li sudah beberapa kali telah ditegaskan bahawa beliau berucap di pentas NGO.

“Saya hairan adakah TPM, Perdana Menteri dan ahli parti semua mendengar ucapan Ku Li. Saya harap dengar dari awal hingga akhir. Apakah kenyataannya itu melanggar perlembagaan dan disiplin parti,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi, semalam.

Lokman berkata, Ku Li bersedia menerima apa sahaja tindakan yang akan diambil terhadap beliau memandangkan pendiriannya jelas dan tidak mahu diheret sama untuk berbohong kepada rakyat.

“Kalau kerajaan bohong takkan Ku Li nak ikut kerajaan berbohong. Terpulang kepada parti sama ada beliau bersalah atau tidak kerana apa hendak disampaikan beliau ialah undang-undang dan perjanjian yang telah ditandatangani memandangkan beliau sendiri yang telah menandatangani dan beliau lebih mengetahui soal ini.

“Apa yang hendak disampaikan adalah perkara yang benar. Beliau tidak mahu berbohong dan mahu bercakap benar. Apakah kenyataan benar dan tepat itu bercanggahan dengan kehendak parti. Apakah Ku Li perlu diseret sama untuk berbohong kepada rakyat semua,” katanya.

Mengulas mengenai wujud dakwaan yang kononnya Ku Li memberikan kenyataan yang berbeza dalam isu tuntutan royalti bagi Kelantan dan Terengganu, Lokman berkata, Ku Li tidak pernah mengeluarkan kenyataan yang berbeza kerana masa kes di Terengganu beliau sanggup menjadi saksi (sewaktu kerajaan Pas tuntut royalti minyak dari Kerajaan Pusat) sekiranya dibawa ke mahkamah.

Katanya, perjanjian royalti minyak itu cukup mudah iaitu apabila dalam tiga batu nautika ia memang hak Kerajaan Negeri 100 peratus sepatutnya.

“Tidak sepatutnya dapat langsung (dalam tiga batu nautika) kepada Kerajaan Pusat. Tapi apabila Kerajaan Pusat bersama Kerajaan Negeri memikirkan bahawa tidak ada minyak di dalam tiga batu nautika ini maka ada perjanjian bahawa jika terdapat minyak di dalam tiga batu nautika atau lebih hasil minyak diserahkan kepada Petronas. Dan Petronas mesti membayar hasil sebanyak 5 peratus kepada Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri.

“Itu asas perjanjian. Dalam kedudukan tiga batu nautika ini Kerajaan Negeri sepatutnya tidak memberi satu sen pun kepada Kerajaan Pusat kerana itu memang hak Kerajaan Negeri.

“Tetapi berdasarkan kepada kajian besar kemungkinan minyak tidak ada di dalam kawasan tiga batu nautika, minyak semua berada di luar tiga batu nautika jadi Kerajaan Negeri pada masa itu bertimbang rasa dan Petronas pun sepatutnya bertimbang rasa,” katanya.

Sehubungan itu beliau menegaskan, adakah disebabkan kenyataan Ku Li berbeza dengan Kerajaan Pusat, maka beliau diheret sekali untuk berbohong.

“TPM sepatutnya dimaklumkan perkara yang betul apa yang telah disampaikan oleh Ku Li dan bukannya maklumat yang tidak tepat. Kerana Ku Li berceramah di atas platform NGO iaitu Gerakan Tuntut Royalti Rakyat Kelantan (Gegar),” katanya.

Lokman berkata, kenyataan Muhyiddin juga bertentangan dengan kenyataan Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz..

“Sehari sebelum Ku Li menyampaikan ceramah tersebut Ahmad dan Nazri menyatakan ia bukan halangan, sekarang lain pula," katanya.

No comments:

Post a Comment