Pengerusi Jawatankuasa Tuntutan Royalti Petroleum Negeri, Datuk Husam Musa berkata, sikap membisu Najib menyebabkan kredibiliti dipertikaikan sehingga Mustapa menjadi mangsa.
“Sepatutnya Perdana Menteri yang bercakap bagi menjawab isu ini. Ambo (saya) minta Datuk Pa tak usah campur hal ini, biar Perdana Menteri sendiri yang bercakap.
“Sebab dia (Mustapa) bukan menteri berkaitan dalam isu tersebut. Rakyat semua tahu dia tidak kena mengena dalam soal ini,” katanya pada ceramah isu semasa di mini stadium di sini, malam tadi.
Kira-kira 5,000 penduduk tempatan mengikuti ceramah tersebut yang turut dihadiri Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat, Saifuddin Nasution Ismail.
Jumlah kehadiran tersebut jauh mengatasi mereka yang hadir pada ceramah penjelasan isu royalti yang dianjurkan Umno baru-baru ini, biar pun angka diberi media harian juga 5,000 orang.
Perdana Menteri juga sehingga kini gagal menjawab dua surat yang dihantar Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkaitan isu royalti.
Husam turut melahirkan rasa hairan mengapa Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri mengatur pelbagai program menafikan hak Kelantan ke atas royalti.
“Sebelum ini beliau bersama timbalannya, Datuk Dr Awang Adek Hussin bermati-matian menafikan Kelantan ada hak ke atas royalti.
“Namun selepas Perdana Menteri menjelaskan akan memberi wang ihsan, tiba-tiba beliau mengakui ada hak. Pemimpin apa macam itu,” katanya.
Beliau yang juga anggota Exco kerajaan negeri menjelaskan, kerajaan negeri akan terus memperjuangkan tuntutan tersebut walau dengan apa cara sekali pun demi manfaat rakyat.
Sumber: Harakahdaily
No comments:
Post a Comment