Monday, February 8, 2010

Royalti Minyak K’tan : Majlis Penasihat Petroleum perlu dibentuk - Ku Li

KUALA LUMPUR : Mantan Pengerusi Petronas Tengku Razaleigh Hamzah mengesyorkan supaya dibentuk sebuah majlis penasihat Petroleum, bertujuan membantu Perdana Menteri dalam urusan royalti minyak membabitkan pembayaran royalti minyak antara persekutuan dengan negeri, khasnya membabitkan kerajaan negeri Kelantan mutakhir ini.

"Saya rasa kita kena perbetulkan semua ini (royalti), memang diperuntukkan dalam undang-undang, memang dah ada perjanjian antara negeri dan persekutuan.

"Petronas akan melantik seorang ketua eksekutif baru dan saya harap ketua eksekutif baru akan melaksanakan kerja-kerjanya sebagai mana yang dikehendaki oleh undang-undang dan sebagai mana yang diamanahkan Tun Abdul Razak 34 tahun dulu semasa Petronas ditubuhkan ketika saya dilantik menjadi pengerusinya," kata beliau dalam suatu sidang akhbar di kediamannya baru-baru ini.

Tengku Razaleigh berkata, kerajaan Barisan Nasional masih belum terlewat untuk membetulkan keadaan sebelum rakyat Malaysia kecewa dengan mereka.

"Janganlah pandai-pandai buat kerja mengikut selera, mengikut nafsu, tak ikut undang-undang. Saya rasa ini suatu perkara penting untuk diambil kira sebelum rakyat berasa kecewa dengan apa yang telah dilakukan seperti yang saya sebutkan tadi, terhadap negeri Terengganu misalnya.

"Saya percaya, di bawah akta ini juga, ada peruntukan yang menunjukkan bahawa wajib dibentuk majlis penasihat Petroleum yang dianggotai oleh pemimpin-pemimpin kanan pentadbiran untuk menasihatkan Perdana Menteri," kata beliau lagi.

Bekas Pengarah Urusan MISC Berhad (MISC), Datuk Shamsul Azhar Abbas secara rasmi telah dilantik sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas yang baru berkuat kuasa Rabu depan (10 Februari) untuk menggantikan Tan Sri Mohd Hassan Merican yang tamat kontrak perkhidmatannya sehari sebelum itu.

"Jadi, saya berharap majlis ini akan dibentuk untuk menasihat Perdana Menteri dan akan mengawasi perjalanan Petronas di bawah kepemimpinan baru. Dan saya berharap, pembaziran yang berlaku sebelum ini tidak akan berulang lagi," kata Tengku Razaleigh.

Sidang akhbar itu dilakukan bertujuan menolak dakwaan, kritikan para pimpinan Barisan Nasional yang dilemparkan ke atas beliau mutakhir ini melalui akhbar-akhbar arus perdana.

Terdahulu, sebelum ini, tindakan Tengku Razaleigh berceramah dalam Himpunan 100 Ribu Royalti Minyak anjuran Gerakan Bertindak Kembalikan Royalti Rakyat (Gegar) pada 28 Januari lalu mengundang rasa terkejut dalam kalangan pimpinan Umno dan Barisan Nasional.

Antara yang melahirkan rasa terkejut itu adalah Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim yang menyifatkan bahawa pendirian Tengku Razaleigh Hamzah bahawa Kelantan berhak mendapat royalti minyak itu, bercanggah dengan pendirian sebelum ini.

Tambah Rais, kenyataan Tengku Razaleigh pada 28 Januari lalu bertentangan dengan kenyataan pada Oktober 2000 dan hal itu mengelirukan rakyat, khasnya di Kelantan.

Rais berkata demikian kepada Bernama apabila mengulas kenyataan Tengku Razaleigh ketika berucap dalam majlis solat hajat dan ceramah perdana royalti petroleum di Stadium Sultan Mohamed IV, Kota Baharu, Kelantan pada 28 Januari lalu yang turut dihadiri Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Sumber: www.Erapakatan.com

No comments:

Post a Comment